Pada 14 hingga 16 Disember baru baru ini, Kelab Remaja JIM Terengganu telah diamanahkan untuk mengendalikan Program Pembangunan Minda Insan untuk belia dan beliawanis yang tinggal di sekitar Hulu Dungun. Program ini dianjurkan oleh KETENGAH dengan kerjasama Kolej KETENGAH dan Kelab Remaja JIM Terengganu. Program diadakan di De Rhu Resort, Kuantan.
Program selama 3 hari 2 malam ini bertujuan untuk memberi input dan motivasi kepada peserta mengenai tujuan hidup di dunia ini. Turut hadir sama mengendalikan program ini ialah Pengerusi Tarbiyah JIM Terengganu, Akhi Muzahar bin Hitam. Barisan fasilitator dan pengendali adalah bekas pimpinan Kelab Remaja JIM Terengganu dan ahli Pertubuhan Alumni Pemimpin Kanan Pelajar Menengah Terengganu (PEMIKIR).
KRJ Terengganu melaksanakan modul Keindahan Bersama Mu (KBM) yang membawa peserta menghayati indahnya hidup ini apabila kita dekat dengan Allah, indahnya hidup ini jika kita benar benar sayang kepada Rasulullah s.a.w, indahnya bersama para sahabat dan indahnya hidup dengan ibu dan bapa.
Majlis penutup disempurnakan oleh Tuan Hj Fakaruddin bin Ahmad, Pengurus Bahagian Pembasmian Kemiskinan KETENGAH. Ustaz Muzahar Hitam berucap mewakili JIM.
Semoga semua peserta mampu menghayati segala apa yang telah dicurahkan dan KRJ Terengganu mendoakan agar semua peserta akan terus istiqamah dalam perubahan perubahan positif yang telah mereka janjikan.
Untuk lihat gambar, boleh klik sini
Sekian, wassalam
Dilaporkan oleh Kelab Remaja JIM Terengganu