Laman JIM Terengganu

Bersama Islam Membina Masyarakat di Terengganu

Ramadhan 1001 Rahmat

Saudara saudari  yang dirahmati Allah,

imagesAlhamdulillah tahun ini kita masih di beri kesempatan, kekuatan dan kesihatan(bagi mereka yang sihat) untuk bertemu dengan bulan yang mulia, bulan yang penuh dengan barakah, bulan yang penuh dengan seribu rahmat dan keampunan, bulan yang dinanti-nanti oleh para ulama dan para solihin.  Itulah bulan “Ramadhan Al-Mubarak”

Ubadah Bin Somit r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang.

“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan yang Allah telah melimpah ruahkan di dalamnya keberkatan , menurunkan rahmat , mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk mendapat kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat.  Maka tunjukkanlah kepada Allah taala kebaikan kamu.  Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah orang yang dinafikan rahmat  Alllah pada bulan ini”

Alhamdulillah juga kita sudah berada di pertengahan bulan Ramadan dan sudah melalui fasa maghfirah.  Iaitu fasa di mana Allah menjanjikan keampunan kepada umatnya yang melakukan ibadah dengan penuh keimanan dan pengharapan.

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan pengharapan (mengharap redha Allah) akan di ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang”

Sebagai umat Islam kita tentunya rasa sangat bersyukur kerana dipertemukan lagi dengan bulan yang sangat banyak kelebihannya ini.  Mungkin ada di antara kita mempunyai pengalaman tersendiri bersama Ramadhan.

Bagi yang pernah berpuasa di negeri orang tentunya pengalaman menyambut  Ramadhan menjadi sesuatu yang berharga dan sukar dilupakan.  Terutamanya bagi yang pernah merasakan bagaimana pengalaman berpuasa di tanah suci Mekah dan Madinah atau di tanah arab seperti Mesir, Jordan dan sebagainya.  Pengalaman berbuka puasa dan berterawih di sana tiada tandingannya dan tidak akan ditemui di tanahair kita.  Ternyata penghayatan dan persediaan masyarakat kita mengenai Ramadhan ini masih belum mencukupi.

Pengalaman penulis menyambut Ramadhan di bumi Mesir cukup bermakna.  Hati bagaikan digamit untuk berada di sana lagi setiap kali tibanya Ramadhan.  Terutamanya apabila mengingatkan imam terawihnya dan doa qunutnya yang panjang.  Masih tergambar di ruang ingatan ini bagaimana penulis hampir-hampir pitam dalam rakaat  terakhir solat witir sewaktu mengaminkan doa qunut  Syeikh Jibril pada malam 27 ramadhan 1429H.  Lamanya kira-kira sejam 40 minit.  MasyaAllah!

Sambutan Ramadhan

Apabila tiba 30 Sya’ban masyarakat arab mula sibuk menghias rumah-rumah mereka dan bangunan dengan lampu-lampu pelbagai warna yang dikenali sebagai Al-Fanus (sejenis lampu yang hanya banyak didapati di bulan Ramadhan) tidak seperti kita yang lebih meraikan kedatangan Syawal.

Kebanyakan masjid-masjid di sana ada disediakan “Maaidatul Rahman” (hidangan orang-orang yang pemurah) di sepanjang bulan Ramadhan.  Setiap hari faqir miskin boleh berbuka puasa di masjid-masjid.  Bukan saja faqir miskin malah pelajar-pelajar (ibnu sabil) juga boleh menikmati hidangan ini.  Bahkan sesiapa sahaja yang berpuasa juga dialu-alukan.  Sepanjang  30 hari  bulan Ramadhan mereka tidak perlu mengeluarkan belanja walau 1sen pun untuk mendapatkan makanan.  Betapa melimpah ruahnya rezeki di bulan Ramadhan.  MasyaAllah! Inilah yang dikatakan rahmat  dari Allah s.w.t

Ramadhan, awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan pengakhirannya adalah perlepasan dari api neraka”

Sebaliknya di negara kita hanya sebahagian kecil sahaja yang menganjurkan majlis berbuka puasa dan yang banyak terjadi dalam masyarakat kita ialah berlumba-lumba untuk menyediakan ‘moreh’.  Ada sesetengah anak muda kita mencari-cari masjid yang menyediakan hidangan ‘moreh’ yang paling enak untuk berterawih di sana.  Sungguh pelik! Adakah solat akan bertambah kusyuk  jika diberitahu hidangan ‘moreh’nya sedap?

Namun, tidak dinafikan menyediakan hidangan moreh juga satu ibadah terpuji yang tersedia ganjaran pahalanya tetapi ganjaran akan lebih besar jika kita menghidangkan makanan di saat orang sedang kelaparan.

“Ya Rasulullah amalan apakah di dalam Islam yang baik? Rasulullah s.a.w menjawab: Memberi makan  (orang yang lapar) dan member salam kepada orang yang kalian kenal maupun tidak kalian kenal”             (HR Bukhari)

Bulan yang dilimpahkan rezeki

“Ia adalah bulan Ramadhan, bulan kesabaran kerana bersabar itu adalah syurga, bulan berkasih sayang dan bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman”

Di negara kita makanan memang melimpah ruah.  Alhamdulillah! Setiap hari berbagai jenis makanan boleh didapati di bazar Ramadhan (sesuatu yang  tidak ada di Mesir).  Juadah berbuka kita pula melebihi hari-hari biasa.  Lebih-lebih lagi jika ada jiran tetangga yang bermurah hati menghulurkan juadah berbuka.  Kadang-kadang makanan lebih banyak dibuang kerana perut kita sudah tidak mampu menerima makanan yang banyak itu.  Akhirnya banyak pembaziran yang berlaku.  Alangkah ruginya…

Sedangkan sepatutnya Ramadhanlah yang boleh mendidik kita mengingati saudara-saudara kita yang sering kebuluran dan bagaimana menghargai makanan yang sedikit serta bersyukur dengan apa yang ada.

Bulan yang penuh dengan pintu-pintu ilmu dan kebaikan

“ Apabila tibanya bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, pintu-pintu kebaikan, ditutupkan pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan”

Bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir, sepanjang bulan Ramadhan banyak kelas-kelas talaqi dan tafaquh fiddin untuk diikuti dari pagi, petang sampailah ke malam selepas terawih, betapa bulan yang penuh dengan pintu-pintu ilmu bagi mereka yang benar-benar cintakan ilmu.  Subhanallah!

Mengikuti kelas talaqi di sebelah petang kadang-kadang menyebabkan kami kelewatan untuk pulang ke rumah anak negeri masing-masing.  Di pertengahan jalan azan maghrib mula berkumandang, waktu itu kami sangkakan kami akan terlewat berbuka puasa pada hari itu, namun Alhamdulillah rupa-rupanya bila azan berkumandang aka nada beberapa orang kanak-kanak yang membawa kotak kurma untuk diberikan kepada sesiapa yang masih di jalanan.  Walaupun hanya mendapat sebiji kurma, begitu terasa nikmat rezeki kurniaan Allah.  Alhamduluillah, besarnya rahmatMu ya Allah.

Bulan ibadah dan pahala dilipatgandakan

Saya kira hampir kesemua daripada kita dapat merasai limpahan rahmat daripada Allah s.w.t setiap kali tibanya bulan Ramadhan.  Contohnya walaupun kita tahu seseorang itu tidak solat tetapi dia tetap meraikan Ramadhan dengan berpuasa.  Walaupun mereka adalah golongan yang  tidak menutup aurat  tetapi kita dapati mereka pergi ke masjid-masjid untuk bersolat terawih.  Alhamdulillah…

Cuma, yang masih kurangnya kita ialah bagaimana kita menghidupkan Ramadhan itu dengan memperbanyakkan membaca dan mentadabur Al-Quran, bersedekah, member makan kepada faqir miskin, mengeluarkan zakat serta beribadah di malam hari.  Allah telah menjanjikan pahala yang berlipat ganda bagi mereka yang melakukan kebaikan di bulan Ramadhan.

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan akan dibalasi dengan pahala seperti mengerjakan fardhu di bulan-bulan lain.  Manakala yang mengerjakan fardhu akan digandakan seperti mengerjakan 70 kali fardhu di bulan-bulan lain”   (HR Ibnu Khuzaimah)

Bulan diturunkan Al-Quran

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan bagi petujnuk itidan sebagai pembeza antara petunjuk (hak) dan batil”

Di negara kita Malaysia, susah sekali untuk melihat masyarakat kita membudayakan membaca Al-Quran.  Di hentian-hentian bas atau di tempat-tempat awam susah sekali untuk melihat anak-anak kita membaca Al-Quran.  Mereka lebih suka membaca komik dan majalah hiburan.  Sepatutnya bulan yang diturunkan Al-Quran inilah kita berlumba-lumba untuk mengkhatamkan Al-Quran sbanyak mungkin serta mentadabur maknanya.  Sayangnya sesetengah ibubapa tidak memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk terus membaca Al-Quran.  Bahkan ada yang tak kisah langsung anak-anak mereka menghabiskan masa dengan menonton televisyen.  Alangkah ruginya beribu-ribu pahala sedang menanti di setiap huruf Al-Quran dibiar begiru saja.

Berlainan pula suasana di tanah arab, di mana saja pasti ada yang memegang mushaf (Al-Quran) tidak kira tua atau muda (walaupun tidak semua).  Alangkah sejuknya hati melihat suasana ini.  Mudah-mudahan generasi kita yang akan datang bakal menghidupkan suasana ini InsyaAllah.  Amin ya Rabb…

Bulan berdoa

“Wahai manusia kamu dinaungi oleh bulan yang penuh keberkatan yang mana bulan yang ada di dalamnya malam yang lebih baik daripada seribu bulan” ”   (HR Ibnu Khuzaimah)

Kalau nak diceritakan semua kebaikan bulan Ramadhan ini tak tertulis rasanya.  Namun, satu perkara yang kita harus sentiasa buat ialah memperbanyakkan berdoa.

Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan, pada malam itu turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah malam itu sampai terbit fajar. ( Al-Qadr: 3-5)

Subhanallah! “Sejahteralah malam itu sampai terbit fajar” itulah janji Allah bagi hambanya yang bangun di malam hari yang beribadah dengan penuh keimanan dan pengharapan.  Para malaikat pula turun untuk mengatur semua urusan. Allahuakbar! Mudah-mudahan kita termasuk di dalam hamba-hambaNya yang akan mendapat keistimewaan ini. InsyaAllah…

Sebagaimana yang kita ketahui waktu sepertiga malam iaitu sekitar jam 2 hingga 4pagi, sewaktu insan lain lena diulit mimpi adalah antara waktu yang paling mustajab untuk berdoa.  Justeru, marilah sama-sama kita ringankan badan kita untuk bangun mengadap ilahi  di malam hari mencari satu malam yang Allah janjikan lebih baik daripada seribu bulan, malam yang setiap doa akan terus diangkat ke sidratul muntaha dan diperkenankan oleh Allah s.w.t

Selain itu, waktu lain yang boleh kita berdoa ialah waktu ketika kita berbuka puasa.  Oleh yang demikian, perpanjangkanlah doa kita.  Bukan sekadar membaca doa makan tetapi berdoalah agar kita terus diberi hidayah Allah, agar ditetapkan iman kita, dilimpahkan rezeki atau apa saja yang kita hajati. Berdoa…berdoa…dan berdoalah!

Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita tingkatkan ibadah kita, solat tahajud kita, tilawah kita agar kita terpilih untuk bertemu dengan malam sejuta berlian ini dan jangan lupa untuk sentiasa berdoa.  Berdoa untuk kita, keluarga kita dan kemenangan umat Islam. Moga-moga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun lalu.

Selamat mencari lailatul qadar…

“Aku hanya bermaksud untuk islah (memperbaikan) selagi mana aku masih terdaya.  Tidak akan ada petunjuk itu melainkan dari Allah” (Hud:88)

Benarlah kata-kata Allah yang maha Agung.

Sentuhan kalam,

SITI NORASHIDAH MOHD NOR

Tenaga pengajar, Sek.Men.Islam Al-Amin,

Kemaman, Terengganu.

Filed under: Artikel, WAJIM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Unknown Feed

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS IKRAM Malaysia

  • BAKIM 26/01/2016
    BAKIM Badan Kebajikan Kakitangan Ibu Pejabat IKRAM (BAKIM) telah ditubuhkan pada 25 Februari 2014. Mesyuarat pertama dihadiri oleh hampir 30 orang kakitangan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah dipengerusikan oleh Ustaz Shamsul Maarif Hj Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa penaja dengan dibantu Parman Sirad selaku Timbalan Pengerusi, Hasbullah Ismail (S […]
  • Lorem ipsum dolor sit amet 31/03/2015
    Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Morbi lorem elit, lobortis sit amet leo sit amet, molestie condimentum nunc. Sed et metus felis. Sed tristique quam eget purus eleifend vulputate. Duis fermentum massa a tempus molestie.
%d bloggers like this: